BINTANGOR, 25 Mac : Penduduk meluahkan kesyukuran dan gembira selepas masjid utama mereka, Masjid Darul Taqwa, berwajah baharu susulan projek naik taraf selesai.
Setiausaha Lembaga Amanah Kebajikan Islam Melayu Bintangor, Abang Masalus Abang Mansor berkata, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM 9.6 juta bagi melaksanakan projek tersebut, yang merangkumi pembinaan semula struktur utama masjid serta penambahan pelbagai kemudahan untuk keselesaan jemaah.
Projek itu katanya, merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan kemudahan beribadat di Sarawak sentiasa dalam keadaan terbaik, sejajar dengan keperluan masyarakat setempat khususnya di Bintangor.
“Dengan ruang solat yang lebih luas serta kelengkapan moden, kemudahan tempat letak kenderaan yang lebih teratur, masjid ini dijangka dapat menampung lebih ramai jemaah, terutamanya pada musim perayaan,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Sementara itu penduduk yang sebelum ini terpaksa berhadapan dengan kekangan ruang dan kemudahan yang terhad, kini bersyukur dengan hasil transformasi masjid tersebut.
Beberapa penduduk turut menyatakan penghargaan mereka kepada kerajaan Sarawak atas perhatian yang diberikan terhadap keperluan komuniti.
Seorang jemaah, Ahmad Abd Razak, 65, menyatakan bahawa masjid ini kini bukan sahaja menjadi tempat ibadah yang lebih selesa, malah menjadi mercu tanda baharu bagi kampung tersebut.
“Kami amat bersyukur dengan usaha kerajaan untuk memastikan kami dapat beribadah dengan lebih selesa. Masjid ini bukan sahaja lebih cantik, malah memberi kesan positif kepada masyarakat di sini,” katanya.
Dengan siapnya projek ini, Masjid Darul Taqwa dijangka akan terus memainkan peranan penting sebagai pusat komuniti, bukan sahaja untuk aktiviti keagamaan, tetapi juga untuk program-program kebajikan dan kemasyarakatan. -TVS