KUCHING, 25 Mac: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan ketara dalam caruman sukarela dengan hampir 1.2 juta pencarum, menandakan lebih ramai rakyat malaysia mengambil langkah proaktif untuk menjamin simpanan persaraan mereka.
Trend ini semakin ketara dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai caruman tetap serta golongan muda yang semakin sedar akan kepentingan menyimpan untuk masa depan.
Menurut KWSP, caruman sukarela melibatkan 1.2 juta pencarum, manakala 530,000 lagi menerusi skim i-Saraan; caruman sukarela bagi bekerja sendiri dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Bilangan ini mencerminkan kesedaran kewangan yang lebih tinggi serta keyakinan terhadap pengurusan dana KWSP.
Bagi seorang penjaja, Bong Soi Chern, keputusan untuk mencarum secara sukarela dibuat kerana mahu memastikan masa depan yang lebih baik untuk dirinya dan anak-anak.
“Saya mahu simpan duit untuk anak-anak dan keluarga. Dividen EPF lebih tinggi dan lebih selamat juga,” katanya kepada TVS hari ini.
Aman, seorang penunggang e-hailing, telah mencarum secara sukarela setiap bulan kerana sedar kepentingan menyimpan untuk persaraan.
“Saya rasa ia lebih baik untuk masa depan saya, kerana tiada siapa yang mencarum untuk penunggang e-hailing seperti kami.
“Jadi bila kami mencarum untuk diri sendiri, adalah simpanan untuk masa depan kami juga,” ujarnya.
Aman juga berpendapat bahawa peningkatan kadar dividen 6.30 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024 mengukuhkan lagi kepercayaannya terhadap pengurusan kewangan KWSP.
“Saya memang percaya dengan KWSP untuk simpanan duit saya demi masa depan,” tambah Aman.
Malah, pelajar juga mula mengambil langkah menyimpan, dengan adanya insentif padanan di bawah i-Saraan sebanyak 20 peratus sehingga maksimum RM500 daripada kerajaan untuk jumlah caruman sukarela mereka.
Azzatul, seorang pelajar universiti berkata, media sosial memainkan peranan dalam keputusannya untuk mula menyimpan lebih awal.
“Saya dapat tahu dari TikTok bahawa jika kita mencarum sehingga RM2,500 dalam akaun KWSP, kita akan mendapat insentif RM500 setiap tahun.
“Sebab itu saya berebut peluang untuk mendapat RM500 itu,” jelasnya.
Walaupun lebih ramai rakyat Malaysia kini membuat keputusan kewangan yang lebih bijak, masih terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
“Simpanlah awal, sebab lambat laun nanti, wang itu akan berguna untuk masa depan kita dan apabila kita sudah tua nanti,” pesan Azzatul.
Dengan peningkatan caruman sukarela, rakyat kini menunjukkan komitmen yang lebih tinggi terhadap perancangan kewangan untuk persaraan. – TVS