PUTRAJAYA: 25 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas penganjuran Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) ke seluruh negara pada minggu akhir Ramadan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perluasan PJRM merupakan sebahagian usaha kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dengan tawaran harga barang lebih rendah.
“Bermula 17 Mac hingga 30 Mac ini, kita sedang dan akan melaksanakan sebanyak 723 siri Program Jualan Rahmah Syawal sebagai bantuan kepada mereka-mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Program Ihya’ Ramadan di sini hari ini.
PJRM merupakan salah satu inisiatif yang menawarkan potongan harga antara 10% hingga 30% bagi pelbagai barangan keperluan harian.
Antara barangan yang diberikan diskaun termasuk ayam, ikan dan hasil laut, telur ayam, gula putih, minyak masak, tepung gandum, beras, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya.
PJRM dijalankan sepanjang tahun 2025 dengan kerjasama pasar raya besar dan pasar raya seluruh negara, khususnya di lokasi-lokasi yang mempunyai golongan berpendapatan rendah.
Program ini dilaksanakan di semua 222 kawasan parlimen bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada penjimatan yang ditawarkan. -TVS.