LIMBANG, 25 Mac: Kerajaan komited dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan sepanjang musim perayaan termasuk Aidilfitri dengan memperhebat kempen keselamatan jalan raya bagi mencapai sifar kemalangan maut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang berkata kempen keselamatan jalan raya diadakan secara berterusan terutama pada musim perayaan bagi memberi kesedaran pengguna agar lebih berwaspada dan berhati-hati ketika berada di jalan raya.
“Pada masa sama juga kita ingin memberi kesedaran kepada orang awam agar lebih berwaspada dan menitikberatkan keselamatan di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Daerah Limbang Sempena Hari Raya bertempat di kawasan bawah Jejantas Taman Tasik Mas, Limbang hari ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal.
Paulus berkata lagi aliran trafik akan meningkat sepanjang musim perayaan kerana ramai pengguna jalan yang akan balik kampung bagi menyambut Aidilfitri.
Katanya selain meningkatkan aspek keselamatan di jalan raya, mereka juga perlu memastikan kenderaan yang digunakan sentiasa berada dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
“Ini penting bagi memastikan orang ramai agar dapat sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat dan dapat meraikan hari raya bersama keluarga tersayang,” katanya. – TVS.