Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penasihat Rurum Kelabit Sarawak, Datuk Gerawat Gala ketika berucap dalam majlis ulang tahun ke-80 pendaratan payung terjun Operasi Semut di Bario hari ini. Foto (TVS)

Kenali sejarah Operasi Semut 1945, hargai perjuangan generasi terdahulu

ByVanessa Enjop

MIRI, 25 Mac: Masyarakat Bario diseru untuk mengenali lebih dekat sejarah perjuangan nenek moyang mereka melalui peringatan ulang tahun ke-80 Operasi Semut 1945 di Taman Peringatan Bario.

Penasihat Rurum Kelabit Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Gerawat Gala berkata, sejarah perjuangan ini perlu terus dihayati masyarakat agar mereka memahami nilai perpaduan dan keberanian yang diwarisi.

“Bagi kita yang tidak sempat menyaksikan peristiwa ini 80 tahun lalu, marilah kita mengenang dan menghayati pengorbanan mereka. Nenek moyang kita rela berjuang demi kebebasan dan keamanan negara ini, bersedia mengorbankan nyawa demi generasi masa hadapan,” katanya ketika berucap dalam majlis ulang tahun ke-80 pendaratan payung terjun Operasi Semut di Bario di sini, hari ini.

Tambahnya, Operasi Semut bukan sahaja membebaskan Sarawak daripada pendudukan Jepun, tetapi turut membuka horizon baharu bagi masyarakat Kelabit, yang sebelum itu hidup dalam dunia terpencil di pedalaman tanah tinggi.

“Pendedahan kepada dunia luar dan ketenteraan Barat telah memberi inspirasi kepada masyarakat Kelabit untuk keluar daripada kepompong mereka. Selepas Perang Dunia Kedua, ramai yang menyertai pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia,” tambahnya.

Menurut Gerawat, hampir 5 peratus daripada populasi Kelabit telah berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara, termasuk Allahyarham Sub-Inspektor Ngeri Nubala, penerima pingat keberanian tertinggi negara, Sri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) atas keberanian beliau bertempur dengan pengganas komunis di Sibu.

Acara peringatan ini juga menjadi platform untuk mendidik masyarakat mengenai peranan penting yang dimainkan oleh pasukan khas Z-Force dan para sukarelawan tempatan dalam menentang penjajahan Jepun.

“Kita harus memastikan generasi muda memahami bahawa keamanan yang kita nikmati hari ini bukan datang dengan mudah. Ia diperoleh dengan pengorbanan yang besar dan menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan keamanan itu,” katanya.

Bagi memastikan sejarah ini terus dihayati, Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pemeliharaan tapak-tapak bersejarah dan membangunkan Bario sebagai destinasi pendidikan sejarah.

“Kerajaan sentiasa menyokong pemeliharaan tapak warisan sebagai sebahagian daripada pembangunan pelancongan. Kita harus pastikan sejarah ini terus dihidupkan dan dipelihara untuk generasi akan datang,” tambahnya.

Beliau berharap acara ini akan terus menjadi tradisi tahunan, bukan sahaja sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang telah berkorban, tetapi juga sebagai satu platform pendidikan untuk mendidik generasi akan datang mengenai sejarah Sarawak dan kepentingan mempertahankan kebebasan.

“Hari ini mengajar kita tentang nilai kebebasan, keamanan, dan kemajuan. Jangan sesekali kita lupakan jasa dan pengorbanan mereka yang telah menjadikan Bario dan masyarakat Kelabit seperti yang kita kenal hari ini,” ujarnya.

Melalui usaha ini, Bario bukan sahaja dikenali sebagai tapak peringatan sejarah tetapi juga sebagai pusat pembelajaran sejarah yang penting bagi generasi kini dan akan datang.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan