KUCHING, 25 Mac: Kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) dijangka ditempatkan di Sarawak apabila ia siap dibina kelak.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata ia adalah sebahagian daripada rancangan terbaru Maritim Malaysia untuk meningkatkan keupayaan dan keberkesanan operasi di kawasan Laut China Selatan.
Apabila kapal besar ini ditempatkan di Sarawak, peranannya akan menjadi lebih efektif kerana kapal ini berupaya memuat bot pemintas pantas.
“Apabila kapal besar ini belayar, ia akan beroperasi di lokasi tertentu, manakala bot pemintas pantas akan menjalankan rondaan di kawasan sekitar. Dengan adanya jeti yang panjang, kapal besar ini dapat berlabuh dengan selamat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, perjanjian perolehan MPMS untuk Maritim Malaysia telah termeterai.
Majlis menandatangani Surat Setuju Terima (SST) untuk perolehan kapal ini di Desan Shipyard, Turkiye.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan keupayaan operasi Maritim Malaysia dalam menjalankan tugas penguatkuasaan.
Dengan penempatan kapal MPMS ini, Maritim Malaysia berharap dapat mempertingkatkan keselamatan maritim negara, terutamanya di perairan Laut China Selatan yang menjadi kawasan strategik.
Semalam, Rosli berkata kapal ini dilengkapi dengan teknologi canggihdan sistem operasi moden yang mampu meningkatkan keberkesanankawalanperairan negara.
“Kapal sepanjang 99 meter ini boleh beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan mampu membawa 70 kru serta 30 penumpang.
“Ia juga dilengkapi dengan empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan serta pusat tahanan,” katanya.