MIRI, 25 Mac: Seramai 170 orang warga Junior Chamber International (JCI) Lutong memeriahkan acara tahunan ketiga Earth Hour Miri di Champs Education Centre, Miri pada Ahad.
Mereka yang hadir merangkumi 84 hadirin secara fizikal dan 86 individu yang menyertai secara maya melalui ikrar alam sekitar dan hasil kraf seni.
Earth Hour Miri 2025 bukan sekadar memadamkan lampu selama satu jam malah ia merupakan satu seruan untuk bertindak, menekankan kepentingan kesedaran perubahan iklim, pemerkasaan belia, dan amalan lestari.
Presiden JCI Lutong, Dr Samantha Ang Cai Shan berkata, acara ini ialah untuk menggalakkan belia untuk memimpin usaha membentuk masa depan yang lestari adalah misi utama mereka.
“Salah satu bahagian penting dalam acara ini ialah ChampSpeak Teens Showcase, di mana para pelajar membentangkan penyelesaian inovatif terhadap perubahan iklim. Mereka mengupas topik seperti penggunaan biochar untuk menangkap karbon, sistem akuaponik bagi pertanian lestari, serta konsep biomimikri yang meniru reka bentuk semula jadi untuk menyelesaikan cabaran alam sekitar.
“Pembentangan ini membuktikan bahawa idea yang diketuai oleh golongan muda boleh menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli Majlis Dr Vincent Huang, yang mewakili Datuk Bandar Miri, Adam Yii yang menekankan usaha Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam menjadikan Miri sebagai bandar rendah karbon.
Para peserta turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang menekankan mesej utama acara ini.
Mereka menulis ikrar peribadi mengenai kelestarian pada nota berbentuk daun dan menampalnya pada pokok simbolik, melambangkan janji kolektif mereka untuk melindungi alam sekitar.
“Pelajar dari Yamaha Miri Music Centre menyampaikan persembahan piano dan vokal yang mencetuskan suasana inspirasi untuk refleksi. Kuiz Earth Hour yang interaktif mencabar pengetahuan peserta tentang isu alam sekitar, dengan hadiah diberikan kepada pemenang. Tayangan video daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, António Guterres, turut mengukuhkan mesej mengenai kepentingan tindakan iklim global,” katanya lagi.
JCI Lutong merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Miri, Champs Education Centre, Miri Music Centre, Sekolah Harmoni, Rumah Kanak-Kanak Methodist, Persatuan Orang Buta Sarawak, Empalai Kitai Krokop Community Farm, Persatuan Keibubapaan Miri, T4 Times Square Miri, Kai Patisserie, dan Tippor Advertising atas sokongan mereka dalam menjayakan acara ini.
Sebagai Earth Hour Miri terus berkembang, JCI Lutong kekal komited untuk memperkasakan belia, mengukuhkan penglibatan komuniti, dan menerajui inisiatif lestari demi masa depan yang lebih baik.
“Earth Hour bukan sekadar satu saat, tetapi satu gerakan. Perjalanan ini akan diteruskan, dan kami berharap untuk mencipta impak yang lebih besar pada Earth Hour Miri 2026,” ujarnya. – TVS