KUCHING, 24 Mac: Seorang wanita berusia 43 tahun cedera selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 10.27 malam dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Perodua Viva dan Proton Saga.Setibanya di lokasi didapati seorang mangsa wanita tersepit kaki di dalam kereta di bahagian penumpang kereta Perodua Viva.
“Pemandu kereta lelaki berusia 50 tahun dan pemandu kereta Proton Saga berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba menjalankan operasi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan diserah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya di Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Kerja-kerja ‘flushing’, membersihkan serpihan kaca dan kesan minyak di lokasi kejadian dijalankan dan operasi tamat pada jam 11.13 malam,” ujarnya.-TVS