MIRI, 24 Mac: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral mengadakan kempen keselamatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan kebakaran dan kemalangan jalan raya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Jamri Masran berkata, lebih 300 bungkus bubur lambuk diedarkan kepada masyarakat bersama risalah keselamatan yang mengandungi maklumat penting berkaitan keselamatan di rumah dan jalan raya.
“Kami amat menekankan aspek keselamatan dengan memastikan tiada 3L iaitu lupa, lalai dan leka. Ia (3L) boleh menyebabkan kecelakaan sama ada di rumah mahupun di jalan raya. Pastikan kenderaan diperiksa dan disenggara sebelum perjalanan balik kampung.
“Selain itu, sebelum meninggalkan rumah, pastikan peralatan elektrik diperiksa, sambungan ke plug kuasa dimatikan, serta pintu dan tingkap dikunci,” katanya pada sidang media sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan JBPM Zon Miri, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Jamri turut menyentuh situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di Sarawak termasuk Kanowit dan Song di Zon Sibu.
“JBPM Sarawak kini memberi tumpuan kepada pemantauan cuaca dan memastikan kesiapsiagaan bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku.
“Buat masa ini, keperluan logistik dan tenaga kerja di Zon Sibu masih mencukupi. Namun, kami bersedia mengerahkan bantuan dari zon lain sekiranya keadaan bertambah buruk,” ujarnya. – TVS