AMMAN, 24 Mac: Royal Jordanian Airlines, syarikat penerbangan nasional Jordan pada Ahad mengendalikan penerbangan ujian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo sebagai persediaan untuk menyambung semula penerbangan ke bandar strategik Syria itu selepas penggantungan selama 14 tahun, lapor Xinhua.
Stesen televisyen kerajaan Al Mamlaka melaporkan bahawa penerbangan ujian itu dilakukan selepas lapangan terbang berkenaan dipulihkan dan dibuka semula minggu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Samer Majali berkata Royal Jordanian Airlines merupakan syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo.
Beliau berkata penerbangan ujian itu membawa delegasi daripada Royal Jordanian, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Jordan serta pegawai berkaitan untuk menilai tahap kesiapsiagaan lapangan terbang berkenaan.
Majali menambah bahawa penerbangan rasmi ke Aleppo akan dimulakan bulan depan jika segala persiapan selesai.
Royal Jordanian telah menyambung semula penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik bulan lepas dan kini mengendalikan 11 penerbangan mingguan ke ibu negara Syria itu. -TVS