KUCHING, 24 Mac: Syarikat automotif Bumiputera terkemuka di Sarawak, Raya Khas Auto melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Infaq Kasih Ramadan dengan mengagihkan lebih 2,500 kampit beras kepada masyarakat memerlukan.
Pengarah Eksekutif Raya Khas Sdn Bhd, Yusuf Roy Fitri Mohd Johnny berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat bagi meringankan beban asnaf, ibu tunggal, warga emas dan keluarga kurang berkemampuan di sepanjang Ramadan.
“Program ini mencerminkan komitmen kami untuk memberi kembali kepada masyarakat khususnya di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Kami berharap inisiatif ini dapat meringankan beban penerima dan menyemarakkan semangat keprihatinan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Yusuf, sebanyak 1,000 kampit beras dihantar terus ke kawasan pedalaman dan kampung seperti Kampung Bintawa, Kampung Sourabaya dan Kampung Gersik.
Manakala 1,500 kampit lagi katanya diagihkan melalui program pandu lalu khas yang diadakan di bilik pameran Raya Khas Auto, Jalan Tun Razak.
Selain itu, ujar Yusuf, Raya Khas Auto turut menyumbang beras kepada masjid dan surau bagi program bubur lambuk, bakul makanan serta bantuan khas bagi program tadarus Al-Quran, dan juga bantuan kecemasan kepada mangsa bencana sekitar bandaraya ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Raya Khas Sdn Bhd, Yasmin Mohd Johnny memberitahu, setiap rezeki yang diperoleh perlulah dikongsi bersama insan yang lain.
“Program ini bukan sekadar satu bentuk sumbangan, ia adalah simbol kasih sayang, perpaduan dan rasa tanggungjawab sesama insan.
“Harapan kami agar inisiatif ini menyemai semangat kebersamaan, dan menjadi inspirasi buat lebih ramai untuk terus menabur kebaikan,” katanya.
Dengan pengalaman lebih 35 tahun sebagai pengimport dan pengedar kereta terpakai berkualiti tinggi, Raya Khas Auto juga dikenali dengan komitmen tinggi terhadap perkhidmatan pelanggan, terbukti menerusi pengiktirafan seperti The Brand Laureate Award dan Asia Automotive Award 2024.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Raya Khas di www.rayakhas.com.my atau kunjungi halaman Facebook rasmi mereka. – TVS