KUCHING, 24 Mac: Lokasi pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Muara Tebas di sini, dilihat sangat kondusif terutama dari segi kesesuaian perairannya.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain berkata, pembinaan pangkalan itu di Sarawak akan mengukuhkan kawalan dan pemantauan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan.
Ujarnya, dari sudut akses kemudahan infrastruktur perairan itu pula mempunyai kedalaman dan panjang yang bersesuaian untuk kapal berlabuh.
“Perairannya, kehadiran ini diperlukan atas sebab faktor keselamatan di Laut China Selatan.
“Kesesuaian untuk kapal sehingga 100 ke 120 meter panjang, boleh berlabuh di sini, Insya-Allah kedalamannya pun cukup bagus di sini semula jadi 14 meter dalam cukup untuk kita keluar,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja rasmi ke tapak Projek MAWILLA 4 hari ini.
Tambah beliau, sekiranya projek pembinaan ini sudah mendapat kelulusan maka ia berkemungkinan akan mula dilaksanaan pada suku pertama tahun hadapan.
Jelasnya, pada masa ini projek tersebut masih di peringkat perbincangan kerana ia perlu disesuaikan dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia.
“Proses itu sedang berjalan sebab kita pun perlu sesuaikan dengan Rancangan Malaysia punya perbelanjaan dan ini menjadi keutamaan kepada tentera rakyat Malaysia sebenarnya.
“Mungkin pada suku pertama tahun hadapan, kalaulah benda ini berjalan dah boleh mula tapi sekiranya kebenaran tu diberikan lebih awal, nanti kita boleh mula lebih awal lagi,” jelasnya.
Projek pembinaan pangkalan itu akan mengambil masa selama tiga tahun untuk dibangunkan dan perkara tersebut akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut. -TVS