MANILA, 24 Mac: Setiausaha Jabatan Pertahanan Negara (DND) Filipina Gilberto Teodoro Jr dijadualkan bertemu dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth pada 28 Mac di Kem Aguinaldo, Quezon City, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Ia merupakan pertemuan secara bersemuka pertama antara kedua-dua ketua pertahanan, susulan panggilan telefon pada Februari lepas apabila Teodoro mengucapkan tahniah kepada Hegseth atas pelantikannya dan kedua-duanya menegaskan komitmen mereka untuk mengukuhkan hubungan pertahanan AS-Filipina, menurut kenyataan DND pada Isnin.
Bercakap semasa ulang tahun penubuhan ke-49 Komando Barat di Puerto Princesa, Palawan pada Isnin, Teodoro berkata pertemuan itu akan memberi tumpuan kepada peningkatan kerjasama antara Manila dan Washington.
“Dalam beberapa hari lagi, rakan sejawat saya, Pete Hegseth, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat akan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden (Ferdinand R. Marcos Jr.) dan kami akan mengadakan pertemuan. Kami akan membincangkan cara untuk memperkukuh perkongsian dua hala, trilateral, dan skuad,” katanya.
Menurut Jabatan Pertahanan AS, Hegseth akan melawat Filipina selepas mengunjungi Hawaii dan Guam, sebelum berlepas ke Jepun.-TVS