TOKYO, 24 Mac: Kebakaran hutan yang berlaku di kawasan pergunungan di Okayama City sejak hujung minggu lalu terus merebak, manakala usaha pemadaman masih giat dijalankan, lapor Xinhua.
Kira-kira 250 hektar di Minami Ward, Okayama City serta sebahagian kawasan di Tamano City musnah sejak kebakaran tercetus pada Ahad.
Menurut penyiar nasional NHK, sebanyak enam bangunan termasuk rumah dan gudang terjejas dalam kebakaran itu, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Pasukan bomba meneruskan operasi sepanjang malam dengan bantuan anggota tambahan dari kawasan berhampiran.
Sebanyak 10 helikopter, termasuk dari Pasukan Pertahanan Diri Jepun turut dikerahkan untuk membantu operasi pemadaman.
Bagi mengurangkan risiko kebakaran merebak ke kawasan perumahan, pihak berkuasa Okayama City mengeluarkan arahan pemindahan melibatkan 403 keluarga, menurut laporan itu. -TVS