KUCHING, 24 Mac: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak terus mempertingkatkan penguatkuasaan dengan mengadakan Ops Pengarah di Batu 15 Jalan Kuching- Serian baru-baru ini.
Operasi tersebut diketuai Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Nor Azlan Ibrahim dan turut disertai seramai 35 pegawai dan anggota JPJ Sarawak.
JPJ Sarawak dalam kenyataannya menyatakan operasi tersebut dilaksanakan berfokus kepada penguatkuasaan secara menyeluruh terhadap kenderaan persendirian dan perdagangan untuk mengesan ketidakpatuhan pada Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta kaedah-kaedah dibawahnya dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334).
“Sebanyak 745 kenderaan telah diperiksa dan JPJ Sarawak mengeluarkan sebanyak 87 notis ketidakpatuhan atas pelbagai kesalahan yang berjaya dikesan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuklah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu GDL serta kesalahan teknikal dan ubahsuai kenderaan,” menurut kenyataan tersebut.
Pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah di atas jalan raya dan mematuhi segala peraturan semasa yang dikuatkuasakan.-TVS