KUCHING, 24 Mac: Dua tahanan yang lari dari Mahkamah Kuching pada 7 Mac lepas berjaya ditangkap semula.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua tahanan ditangkap pada 23 Mac.
“Seorang tahanan ditangkap pada 12.30 tengah malam di Kota Samarahan, seorang lagi ditangkap pada 3.30 petang di kawasan kampung di Kota Samarahan juga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Reman ke atas kedua-dua suspek telah diluluskan selama tiga hari iaitu sehingga 27 Mac 2025.
Menurutnya, hasil keputusan saringan awal ujian air kencing bagi kedua-dua suspek juga adalah positif dadah.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana telah memberikan kerjasama kepada polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan kes ini.
Orang ramai yang mempunyai lain-lain maklumat berkaitan kes ini juga boleh berhubung dengan balai berdekatan atau Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Chris Olsen Ramlee di talian 013-8607572.-TVS