KUALA LUMPUR, 24 Mac: Kerajaan perlu bertindak pantas serta tegas bagi memastikan industri semikonduktor tempatan tidak terpinggir ekoran ketidakpastian ekonomi global, kata Senator Datuk Ahmad Ibrahim.
Seruan itu kata beliau berikutan dasar luar Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa besar ekonomi dunia kini semakin sukar diramal serta dilihat bercanggah terutama dalam isu tarif, perdagangan dan perjanjian pelaburan.
Tambah beliau, antara implikasi besar yang dibimbangi terhadap negara ialah dalam sektor semikonduktor apabila Malaysia diletakkan dalam kategori Tier 2 oleh AS.
“Ini bukan hanya satu penarafan teknikal (kerana) ia mempunyai implikasi besar terhadap kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global, pelaburan teknologi tinggi dan keupayaan inovasi negara.
“Kerajaan perlu bertindak pantas dan tegas untuk memastikan industri semikonduktor tempatan tidak terpinggir.
“Lebih penting lagi, pembangunan teknologi tinggi ini mestilah dilaksanakan secara inklusif (termasuk) di Wilayah Malaysia Borneo seperti Sarawak dan Sabah harus diberi tempat dalam pelan transformasi digital nasional agar tidak terus dilihat terpinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang – Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di Dewan Negara di sini hari ini.
Sementara itu Ahmad turut membangkitkan kesan dasar monetari agresif AS apabila kaedah faedah tinggi ditetapkan negara itu telah mendorong aliran keluar modal dari pasaran negara membangun termasuk Malaysia.
Kata beliau, ini menyebabkan Ringgit berdepan tekanan besar yang seterusnya memerlukan tindakan fiskal pantas serta berstrategi.
“Maka, RUU ini bukan sahaja untuk menampung kekurangan perbelanjaan terdahulu tetapi juga sebagai suntikan fiskal yang penting untuk menstabilkan dan mengimbangi semula kedudukan ekonomi negaar dalam jangka masa pendek dan sederhana,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, peruntukan tambahan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat melalui RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 perlu dimanfaat secara maksimum.
“Kita melihat sejumlah besar peruntukan ini sebanyak RM12.62 bilion (yang) disalurkan kepada Perkhidmatan Am Perbendaharaan, menunjukkan tumpuan kerajaan kepada pemantapan kedudukan fiskal dan pembayaran komitmen utama negara.
“Saya menyokong langkah ini tetapi menekankan sekali lagi bahawa pengurusan kewangan awam mesti dilakukan secara berhemah dan telus,” katanya.
Pada masa sama beliau berpendapat peruntukan RM1.08 bilion kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga amat penting untuk menstabilkan harga barang keperluan asas.
“Ini adalah langkah tepat dalam menangani keresahan rakyat akibat kenaikan kos sara hidup yang semakin menghimpit,” katanya. -TVS.