KUALA LUMPUR, 23 Mac: Polis mengesahkan kejadian kejar mengejar melibatkan unit kereta peronda (MPV) dengan kenderaan disyaki digunakan penjenayah untuk mencuri kabel, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kejadian pukul 3.24 pagi itu berlaku di Taman Rainbow, Sentul, dekat sini dan berlarutan ke Jalan Kuching yang sesak kerana penganjuran festival jualan Aidilfitri di kawasan berhampiran.
Siasatan awal katanya mendapati suspek cuba melarikan diri dengan memecut laju namun meninggalkan kereta digunakan setelah dikejar anggota polis di lokasi kejadian.
 “Apabila suspek telah dikepung berdekatan dengan Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC), dia bertindak meninggalkan kenderaan tersebut dan terus melarikan diri.
“Polis kini masih cuba mengesan suspek,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, semakan ke atas kenderaan yang ditinggalkan mendapati kenderaan tersebut berdaftar atas nama sebuah syarikat sewaan kenderaan.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan selain siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279. -TVS.