BUKIT MERTAJAM, 23 Mac: Pekerja sukarelawan berelaun digesa melapor segera kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membolehkan mereka menerima manfaat sekiranya ditimpa musibah semasa bertugas.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pihaknya mendapati masih terdapat petugas seperti Anggota Pertahanan Awam (APM) dan anggota pasukan-pasukan sukarelawan lain yang tidak mengetahui mereka dilindungi faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
“Kemukakan laporan kepada pejabat PERKESO segera dan wakil PERKESO akan datang untuk melawat dan menyiasat (sebelum menerima faedah),” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui pada Program Kesiapsiagaan Awam APM dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Komuniti di Penanti di sini.
Pada majlis itu, Steven turut menyampaikan bayaran faedah PERKESO RM700 sebulan kepada anggota APM Bukit Mertajam, Muhammad Syazwan Shopiee, 24, yang tidak dapat berjalan selepas dipatuk ular ketika bertugas.
Sementara itu, Muhammad Syazwan berkata, dia dipatuk ular katam tebu yang ditangkap di sebuah rumah Juru di sini pada 23 Februari lalu.
“Saya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 20 hari dan kemudian dirawat di wad biasa sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Impak kejadian itu menyebabkan saya mengalami masalah saraf tidak dapat berjalan seperti sebelum ini,” katanya. – TVS