KUCHING, 23 Mac: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti menghargai komitmen dan kerjasama semua rakan strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membantu sepanjang monsun timur laut awal tahun ini.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sepanjang kejadian bencana yang lepas, sebanyak 85 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menampung seramai 15,542 mangsa daripada 4,728 keluarga.
“Untuk tujuan tersebut kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak membelanjakan peruntukan sebanyak RM5,415,724.00.
“Jumlah keseluruhan bantuan bencana 2025 setakat ini ialah RM15,514,035.40 bagi membantu 123,555 orang mangsa daripada 34,623 keluarga,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange Kuching, hari ini.
Terdahulu pada majlis tersebut, seramai 30 penerima bantuan JKMS Bahagian Kuching menerima sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai sebanyak RM100 seorang.
Hadir sama Pengarah JKM Sarawak Semawi Mohamad, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Jamri Masran. – TVS