BALINGIAN, 23 Mac: Program Imarah Ramadan Peringkat Bahagian Mukah di pekarangan Pasar Lama Daerah Kecil Balingian berlangsung dalam suasana meriah hari ini.
Pengerusi Kelab Belia Progresif Pekan Balingian, Mohd Helmi Zamil berkata, antara pengisian program adalah gotong-royong memasak nasi briyani dan ayam masak merah dan pengumpulan “baju raya preloved” bagi yang memerlukan.
Katanya, turut menjayakan program tersebut ialah Pejabat Belia & Sukan Bahagian Mukah.
“Sebanyak 500 bungkus nasi briyani dan lauk ayam masak merah berjaya diedarkan kepada penduduk setempat,” katanya.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Penghulu Pekan Balingian Harbi Baker. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Mukah, Bonnie Manau.
Menurut Helmi, turut dianjurkan adalah program pengumpulan dan penyerahan baju-baju raya preloved kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli baju raya baru pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Pelbagai jenis baju melayu dan baju kurung berjaya dikumpul dan siapa yang berminat boleh berhubung dengan pihaknya untuk mendapatkan baju-baju preloved tersebut,” katanya.-TVS