MIRI, 23 Mac: Persatuan Melayu Miri (PMM) mengambil inisiatif menggerakkan program infaq sempena Ramadan dengan mengagihkan sebanyak 550 paket beras kepada golongan memerlukan di sekitar Miri.
Pengerusi PMM, Razali Alision berkata, program tersebut bertujuan membantu penduduk kampung yang menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan berikutan peningkatan kos makanan.
“Sejak dahulu, kita melihat ramai penduduk di kampung-kampung yang mempunyai kesukaran untuk meneruskan kehidupan kerana kos makanan yang sentiasa meningkat. Oleh itu, kami mengambil inisiatif ini untuk mengumpul infaq daripada kawan-kawan dan ahli-ahli PMM, baik dari dalam mahupun luar Miri termasuk dari Kuching,” katanya ketika ditemui TVS di Persatuan Melayu Miri, hari ini.
Menurutnya, Ramadan adalah masa yang digalakkan untuk bersedekah dan PMM berperanan sebagai pemudah cara bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan.
“Sumbangan ini kebanyakannya dalam bentuk beras. Oleh kerana tidak mudah untuk orang menghantar beras secara fizikal, mereka menghantar wang dan kami menggunakannya untuk membeli beras bagi disalurkan kepada yang memerlukan,” ujarnya.
Razali turut memaklumkan sumbangan masih diterima dan lebihan dana akan terus digunakan untuk pembelian dan agihan beras sepanjang Ramadan.
Dalam pada itu, PMM juga merancang untuk menganjurkan Hari Raya Aidilfitri bersama pemimpin melalui gabungan pertubuhan Islam Miri.
“Terdapat lebih 30 persatuan yang turut serta dalam gabungan ini, dengan PMM memainkan peranan yang signifikan dalam penganjurannya,” jelasnya.
Beliau turut berharap usaha tersebut dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai penduduk yang kurang bernasib baik.
“Saya melihat masyarakat di Miri sangat prihatin terhadap keperluan penduduk terutamanya mereka yang kurang bernasib baik. Saya berharap usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata Razali. – TVS