KEPALA BATAS, 23 Mac: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berhasrat meneroka pasaran baharu muncul melibatkan negara yang sedang mengalami pertumbuhan ekonomi pesat.
Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah itu penting kerana Malaysia tidak boleh bergantung kepada pasaran tradisional bagi meluaskan perdagangannya.
Katanya, langkah proaktif MATRADE mengembang perdagangan sudah bermula termasuk membawa penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke luar negara.
“(Ini) merupakan salah satu produk MATRADE telah membuka peluang kepada lonjakan perdagangan bagi perkhidmatan dan barangan, (sebenarnya) kita telah eksport MIHAS ke luar negara dengan kali pertama bawa ke Dubai (pada tahun lalu) yang mencatatkan dagangan RM2.2 bilion.
“Pada tahun ini, kali kedua di peringkat antarabangsa kita akan bawa MIHAS ke China International Import Expo (CIIE) di Shanghai, China pada November depan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Reezal Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam ditemui selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Kasih Ramadan, Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di Bertam di sini hari ini.
Seramai 600 orang terdiri daripada golongan memerlukan dan asnaf menerima bantuan masing-masing sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, beliau berkata, pada tahun lalu MATRADE mencatat sejarah apabila merekodkan pencapaian RM1.51 trilion nilai eksport dan RM2.88 trilion bagi dagangan.
“Kita turut melihat peningkatan ‘emerging market’ dengan Afrika yang menunjukkan peningkatan selain di Mesir, Libya, Botswana dan banyak lagi.
“Afrika yang kini kebanyakannya telah menjadi negara demokrasi juga memberi peluang kepada negara perdagangan seperti Malaysia dalam sektor eksport” katanya. – TVS