Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Memasuki fasa 10 malam terakhir Ramadan pada Jumaat lalu, masjid-masjid utama di negara ini menjadi tumpuan umat Islam beriktikaf dan memperbanyak ibadah dalam usaha mencari malam lailatulqadar yang menjanjikan ganjaran pahala beribu kali ganda. Foto fail Bernama

Masjid jadi tumpuan, jemaah beriktikaf rebut ganjaran 10 malam terakhir

ByBernama

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Memasuki fasa 10 malam terakhir Ramadan pada Jumaat lalu, masjid-masjid utama di negara ini menjadi tumpuan umat Islam beriktikaf dan memperbanyak ibadah dalam usaha mencari malam lailatulqadar yang menjanjikan ganjaran pahala beribu kali ganda.

Di media sosial, bertebaran video dan gambar memaparkan suasana masjid yang dipenuhi jemaah sepanjang malam.

Tidak kurang juga yang memuat naik catatan tentang keindahan beriktikaf, kelebihan ibadah di 10 malam terakhir serta semangat kebersamaan dalam mencari lailatulqadar.

Tinjauan Bernama di beberapa masjid utama sekitar ibu negara mendapati suasana malam lebih meriah dengan kehadiran jemaah yang bukan sahaja menunaikan solat sunat tarawih, tetapi juga membaca al-Quran, berzikir dan melakukan qiamullail.

Di Masjid Wilayah Persekutuan misalnya, suasana lebih sibuk berbanding awal Ramadan dengan ramai jemaah memilih untuk bermalam di ruangan solat bagi menghidupkan malam-malam terakhir bulan mulia ini.

Bagi Johara Bee Mohd Ibrahim, 75, yang menetap di Gombak, Selangor, dia sanggup menyewa bilik khas di masjid itu sejak 1 Ramadan bagi membolehkannya beribadah dengan lebih selesa.

“Di sekitar rumah saya memang ada beberapa masjid, tetapi untuk beribadah secara konsisten seperti berzikir dan membaca al-Quran, suasana tidak sama kerana di rumah mungkin ada gangguan lain yang boleh menjejaskan fokus.

“Jadi, apabila ada peluang untuk menginap di masjid yang menyediakan bilik, maka banyak membantu orang berumur seperti saya. Pelbagai aktiviti yang menjurus kepada peningkatan keimanan kepada Allah SWT juga boleh dilakukan dengan lebih tenang,” katanya.

Tambahnya, bacaan al-Quran yang merdu oleh imam jemputan dari Syria dan Mesir memberikan pengalaman ibadah yang hampir sama seperti berada di Madinah dan Makkah.

Sementara itu, Sabri Abdeslem, 24, dari Bordeaux, Perancis, yang pertama kali beriktikaf di Malaysia, berkata suasana Ramadan di sebuah negara Islam seperti Malaysia sangat berbeza berbanding negara asalnya.

“Di Perancis, berpuasa ialah amalan yang bersifat peribadi. Kami hanya berbuka puasa bersama-sama dengan keluarga, bersembahyang di masjid dan kemudian pulang ke rumah. Interaksi dengan orang Islam yang lain agak terhad kerana kebanyakannya beribadah secara bersendirian atau hanya bersama-sama dengan keluarga terdekat.

“Akan tetapi di Malaysia, saya dapat saksikan suasana keterbukaan dan kebersamaan. Umat Islam di sini sangat mesra, selalu mempelawa saya berbuka bersama-sama dan menyertai mereka beriktikaf di masjid,” katanya yang turut kagum dengan kemudahan di masjid.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Jamal Abdul Halim berkata terdapat pertambahan ketara jumlah jemaah di masjid itu pada minggu terakhir Ramadan dengan purata kira-kira 1,000 jemaah berqiamullail dan hampir 500 jemaah beriktikaf dengan tidur di dalam masjid.

“Selain kehadiran imam jemputan dari Mesir dan Syria yang terkenal dengan bacaan al-Quran yang merdu, jemaah turut berpeluang bertalaqqi (mengaji al-Quran) dengan mereka selepas waktu asar selain masjid turut menyediakan juadah sahur dan berbuka secara percuma,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan