BAU, 23 Mac: Sejumlah RM43,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada tiga kampung serta rumah ibadat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru hari ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak yang juga ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, sumbangan geran MRP itu membuktikan sokongan berterusan Kerajaan Sarawak dalam membantu memperkasa sosioekonomi penduduk selain menyumbang kepada pembangunan kawasan di kawasan DUN Tasik Biru.
Beliau turut berharap geran MRP tersebut akan digunakan dengan sebaik mungkin terutama untuk melaksanakan projek atau aktiviti yang dirancang oleh penerima terutama semasa musim perayaan ini.
“Sumbangan seumpama ini memang kita akan berikan pada setiap tahun sempena dengan perayaan Hari Raya dan juga ada waktunya semasa Hari Raya Korban dan sewaktu berbuka puasa.
“Tahun ini kita salurkan menerusi Jawatankuasa Kemahuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar JKKK dapat bergabung dengan masjid atau surau di kampung-kampung untuk memastikan tiadanya Ketua Isi Rumah (KIR) yang tercicir daripada menyertai aktiviti yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Ramadan Depo Bau 2025 di Bau pada Ahad.
Menurutnya, rumah ibadat di jabatan kerajaan di DUN Tasik Biru turut menerima manfaat daripada geran MRP tersebut.
Tiga kampung yang menerima geran MRP tersebut adalah Kampung Melayu Bau, Kampung Pengkalan Bau dan Kampung Buso.
Manakala tiga rumah ibadat yang menerima geran MRP merangkumi Surau As-Syakirin Kem Puncak Permai, Surau Darul Taqwa Balai Bomba dan Penyelamat Bau dan Surau Al-Muqarrabin Ibu Pejabat Polis Daerah Bau.
Selepas majlis penyerahan geran MRP, Henry turut mengedarkan bubur lambuk dan meluangkan masa untuk beramah-mesra bersama-sama warga Bau di Bazar Ramadan Depo Bau.
Hadir sama Ketua Masyarakat Melayu Daerah Bau, Wahab Mainol dan Ketua Kaum Kampung Melayu Bau, Zawawi Hamdan.-TVS