KUCHING, 23 Mac: Kerajaan Sarawak melaksanakan beberapa inisiatif dan pendekatan holistik dalam meningkatkan kualiti hidup warga emas dengan memperkenalkan Kenyalang Gold Card (KGC) dan Senior Citizen Health Benefit (SCHB) .
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sehingga kini seramai 317,599 orang berdaftar sebagai pemegang KGC dan mendapat manfaat dalam bentuk diskaun, rebat dan lain-lain kemudahan.
“Inisiatif Kenyalang Gold Card (KGC) telah mendapat sambutan kerana dapat memberi manfaat kepada pemegang KGC dalam menjalani kehidupan sebagai masyarakat menua.
“Manakala, inisiatif Senior Citizen Health Benefit (SCHB) pula bertujuan untuk menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai (cashless) dengan had maksimum Rm500 setahun untuk seorang warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat 2025 di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange Kuching, hari ini.
Kata Fatimah, kemudahan tersebut disediakan di klinik panel yang dilantik oleh JKMS yang beroperasi di Sarawak.
“Sebanyak 253 klinik perubatan, pergigian dan hospital panel berdaftar dengan SCHB. Sehingga 14 Mac 2025, seramai 10,127 penerima telah mendapat manfaat tersebut,” ujarnya.
Selain itu kata Fatimah, JKM juga memperuntukkan beberapa bantuan seperti bantuan kewangan, klinikal dan sokongan untuk pesakit kanser serta buah pinggang sebagai alternatif dan pelengkap kepada bantuan kesihatan utama dari Kementerian Kesihatan.
“Sehingga Februari 2025, sebanyak RM12,566,110,75 telah dibelanjakan bagi 813 kes.
“Manakala, bantuan perubatan bermula dari 2021 hingga Mac 2025 sebanyak RM3,155,780.20 telah dibelanjakan dengan memberi manfaat kepada 136 pesakit untuk kelangsungan rawatan seumur hidup,” jelasnya. – TVS