BALAI RINGIN, 23 Mac: Markas Medan Timut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berbincang dengan Kerajaan Sarawak untuk mengenal pasti kawasan kritikal di sempadan yang memerlukan pembinaan pos kawalan.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, ketika ini jumlah pos kawalan sempadan Malaysia dengan negara jiran Indonesia adalah berdasarkan satu pos bagi Malaysia kepada empat pos kawalan bagi Indonesia.
“Apabila kita cakap kedaulatan wilayah, sekurang-kurangnya kita mesti mempunyai sekurang-kurangnya hampir sama jumlah Pos Kawalan Sempadan malaysia dengan Pos Kawasan Sepadan milik Indonesia.
“Kita mesti juga melihat dari segi pos gabungan Malaysia deemgan Indonesia, perlu atau tidak untuk dipertambahbaikan atau di perbesarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Markas Taktikal Pos Balai Ringin di sini paa Ahad.
Menurut Mohd Nizam, selain Pos Kawalan Sempadan dan Pos Gabungan, pembinaan dan penambahbaikkan Pusat Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) turut diberikan perhatian bagi memastikan keseragaman jumlah keluar masuk warga kedua negara Malaysia-Indonesia yang melalui pintu sempadan berkenaan.
Jelasnya, kesemua laporan mengenai keperluan itu akan dikumpulkan dan satu lawatan berkaitan akan dilakukan pada Mei hadapan bersama semua pihak-pihak yang terlibat dengan perkara tersebut.
“Kita akan adakan satu perbincangan bersama untuk melihat bagaimana kita boleh melaksanakan penambahbaikan secara pendekatan menyeluruh smeua agensi kerajaan untuk semua sekali bersatu dan bukannya hanya melibatkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sahaja,” ujarnya.
Beliau berkata, keperluan untuk melaksanakan pendenkatan seumpama itu bagi menjaga kedaulatan sempadan Sabah dan Sarawak sentiasa ada dan mendesak.
Ini kerana keluasan kawasan sempadan di kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak yang besar iaitu kira-kira 2,500 kilometer (KM) dengan Kalimantan, Indonesia dan juga sempadan perairan dengan Filipina di Sabah.
Ketika ini, Malaysia memiliki sebanyak 59 pos kawalan sempadan bagi wilayah Sabah dan Sarawak dengan 23 daripadanya adalah terletak di sepanjang sempadan Sarawak.-TVS