BINTULU, 23 Mac: Perkhidmatan bot tambang tradisional di Jepak masih relevan dan wajar dikekalkan walaupun dengan pembukaan awal Jambatan Bintulu-Jepak.
Memetik laporan Suara Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, warisan tersebut penting untuk dihayati generasi akan datang sebagai sebahagian daripada sejarah Jepak.
“Meskipun jambatan ini menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi dan kemudahan perjalanan penduduk, saya percaya pengusaha bot tambang masih boleh beroperasi seperti biasa.
“Kita boleh lihat contoh di Sungai Sarawak, Kuching, di mana bot tambang kekal beroperasi hingga kini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pembukaan awal Jambatan Bintulu-Jepak pada Ahad.
Menurutnya, kesinambungan warisan tersebut akan mengingatkan generasi muda tentang keadaan Jepak sebelum adanya jambatan yang menghubungkan kawasan itu dengan bandar Bintulu.
Tambahnya, ia bukan sahaja mengekalkan identiti tempatan, tetapi juga berpotensi menjadi satu lagi tarikan pelancongan.
“Saya rasa warisan bot tambang ini patut dikekalkan supaya generasi akan datang tahu bahawa suatu ketika dahulu Jepak tidak dihubungi dengan jambatan, tetapi melalui perkhidmatan bot tambang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Iskandar turut mengingatkan pentingnya memastikan kemudahan baharu seperti jambatan tidak disalahgunakan.-TVS