Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Penasihat FORUM, Datuk Gerawat Gala ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan (BDC) ke-9 FORUM hari ini. Foto (TVS)

FORUM utamakan penyatuan persatuan etnik di bawahnya

ByVanessa Enjop

MIRI, 23 Mac: Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) terus memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dengan memastikan semua persatuan etnik di bawahnya kekal bersatu dan bergerak seriring dalam arus kemajuan wilayah ini.

Ketua Penasihat FORUM, Datuk Gerawat Gala berkata, dengan usianya menjangkau 18 tahun, FORUM membuktikan keupayaannya dalam memperkukuhkan kesatuan antara masyarakat Orang Ulu yang terdiri daripada pelbagai etnik.

“Sebelum FORUM ditubuhkan, masyarakat Orang Ulu bergerak dalam persatuan etnik masing-masing tanpa satu platform yang menyeluruh. FORUM diwujudkan bagi menyatukan kesemua persatuan ini di bawah satu payung agar kita mempunyai suara yang lebih kuat dalam membawa isu serta keperluan masyarakat ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan (BDC) ke-9 FORUM di sini, hari ini.

Menurutnya, salah satu kejayaan terbesar FORUM ialah memiliki Bangunan FORUM sendiri yang kini menjadi pusat bagi aktiviti dan pertemuan komuniti Orang Ulu.

“Ini adalah pencapaian yang amat membanggakan. Bangunan ini bukan sahaja menjadi simbol kejayaan FORUM tetapi juga mencerminkan kesatuan kita dalam memastikan kepentingan masyarakat Orang Ulu terus terpelihara.

“Dengan kesatuan yang kita tunjukkan, kita telah mendapat sokongan kerajaan termasuk geran tambahan RM5 juta untuk meningkatkan lagi kemudahan di Bangunan FORUM. Ini termasuk pembinaan tempat letak kereta tambahan, sistem bunyi yang lebih baik, serta penubuhan Galeri Orang Ulu bagi mendokumentasikan sejarah dan budaya kita,” ujarnya.

Tambahnya, FORUM diberi penghormatan untuk mengetuai penganjuran Perayaan Gawai Peringkat Negeri Sarawak tahun ini sekali gus mengangkat masyarakat Orang Ulu ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini adalah peluang keemasan bagi kita untuk menunjukkan kemampuan dan keunikan budaya Orang Ulu kepada seluruh negeri. Saya yakin dengan komitmen semua pihak, kita mampu menjayakan perayaan ini dengan cemerlang,” jelasnya.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan