PENGAMBILALIHAN rasmi MASwings oleh Kerajaan Sarawak dan penjenamaan semula sebagai AirBorneo disifatkan langkah strategik yang mampu melonjakkan sektor penerbangan negeri, sekali gus meletakkan Bumi Kenyalang sebagai hab penerbangan utama di rantau ini.
Menurut Perunding Kanan dan Peneraju Lapangan Terbang, Frost & Sullivan, Shantanu Gangakhedkar, kelebihan utama Sarawak terletak pada keupayaan mengawal sepenuhnya operasi syarikat penerbangan milik sendiri, satu kelebihan unik yang jarang dimiliki negeri lain.
Namun begitu, beliau mengingatkan, industri penerbangan kekal sebagai pasaran yang sangat mencabar. Kegagalan syarikat seperti Rayani Air, MYAirline dan SKS Airways menjadi bukti jelas bahawa kelangsungan bergantung kepada strategi perniagaan, kecekapan operasi dan perancangan laluan yang holistik.

“Di sinilah perbezaan antara syarikat penerbangan yang mampu berkembang atau terpaksa menghentikan operasi. Pertama, ia bergantung kepada strategi armada iaitu jenis pesawat yang digunakan. Kedua, perancangan laluan dan jadual penerbangan yang strategik juga sangat penting. Penetapan harga juga merupakan faktor utama.
“Kesemua ini mesti bergerak selari dan mampan untuk memastikan syarikat penerbangan kekal berdaya saing dan berkembang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan, syarikat penerbangan milik kerajaan sering terperangkap dalam krisis kewangan akibat beban subsidi.
Justeru, AirBorneo perlu mengutamakan kecekapan operasi dan memaksimumkan potensi kargo sebagai sumber pendapatan kedua terbesar selepas penumpang.
“Faktor muatan (load factor) sangat kritikal. Sebab itu, strategi laluan dan jadual penerbangan perlu memastikan kadar muatan mencapai standard industri iaitu sekitar 80 hingga 90 peratus. Ini perlu dipantau rapi sepanjang tahun, bukan sekadar musim puncak sahaja.
“Selain itu, perlu difahami jenis permintaan pasaran, sama ada untuk pelancongan atau perniagaan. Penggunaan armada juga mesti dioptimumkan untuk penumpang dan kargo kerana kargo turut menjadi sumber pendapatan besar. Semua faktor ini perlu dipertimbang bagi menjamin keuntungan pada paras yang stabil,” katanya.
Model Perniagaan Niche: Gabungan Turboprop dan Jet
Shantanu melihat kelebihan kompetitif AirBorneo terletak pada model perniagaan niche dengan menggabungkan penggunaan pesawat turboprop dan jet — membolehkan operasi lebih cekap bagi laluan jarak dekat dan sederhana.
“Selain itu, trend semasa menunjukkan penumpang semakin memilih laluan terus dari titik ke titik. Maka, AirBorneo boleh menyediakan laluan terus dari Sarawak ke destinasi serantau seperti Singapura, Jakarta dan bandar utama lain tanpa perlu transit di Kuala Lumpur.
“Ini boleh menjadi kelebihan kompetitif utama untuk AirBorneo,” ujar Shantanu.
Kombinasi armada ini bukan sahaja fleksibel, malah mampu memperkukuh kedudukan AirBorneo sebagai pemain utama dalam pasaran serantau.
Subsidi Tiket: Risiko dan Realiti
Mengulas mengenai subsidi tiket untuk rakyat Sarawak, Shantanu menegaskan bahawa strategi itu hanya relevan jika margin keuntungan syarikat dapat dikekalkan.
Ini kerana kejayaan sesebuah syarikat penerbangan bergantung kepada keupayaan mereka membayar kos operasi, terutamanya bahan api yang merangkumi hampir 60 peratus kos keseluruhan.
“Jika mereka mampu mengekalkan margin yang baik, maka tidak menjadi masalah untuk menawarkan promosi atau subsidi. Namun, semua tawaran itu mesti diimbangi dengan keupayaan operasi yang mampan.
“Pada peringkat awal, promosi memang sesuai, tetapi dalam jangka panjang, ia hanya wajar jika mampu meningkatkan kadar muatan dan memastikan kelangsungan operasi,” katanya.
Lapangan Terbang dan MRO: Penentu Kejayaan
Dalam konteks pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) sebagai pemacu awal AirBorneo sebelum lapangan terbang baharu di Tanjung Embang siap, kecekapan operasi darat, penyelenggaraan (MRO) dan kapasiti tenaga kerja perlu diperkasakan.
Menurutnya, mana-mana lapangan terbang perlu menyediakan sokongan perkhidmatan darat yang efisien kerana pelanggan utama lapangan terbang ialah syarikat penerbangan.

“Jika jumlah syarikat penerbangan dan laluan bertambah, operasi darat mesti ditingkatkan – termasuk proses pusing balik pesawat (turnaround), katering, pengendalian bagasi dan penyelenggaraan. Ini penting kerana syarikat penerbangan serantau sangat bergantung kepada masa pusing balik yang pantas.
“Selain itu, kapasiti tenaga kerja juga mesti dipertingkat bagi mengurus pertambahan penerbangan dan laluan,” katanya.
Shantanu turut menekankan, permintaan pasaran menjadi penentu utama. Jika permintaan kukuh, lebih banyak syarikat penerbangan akan berminat menjadikan KIA sebagai hab serantau mereka.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Sarawak segera merancang kerjasama strategik dengan syarikat MRO tempatan dan antarabangsa bagi menjamin kapasiti penyelenggaraan jangka panjang.
“Biasanya, kontrak dengan MRO dirunding sebelum operasi bermula, sama ada dalam negara atau luar negara, merangkumi penyelenggaraan barisan (line maintenance), penyelenggaraan asas (base maintenance) dan enjin. Ada syarikat MRO yang mengendalikan semua aspek ini, ada juga yang hanya fokus pada satu bidang.
“Keputusan ini bergantung sepenuhnya kepada syarikat penerbangan berdasarkan ketersediaan slot, kos dan masa. Slot penyelenggaraan selalunya telah ditempah bertahun lebih awal. Justeru, keputusan ini memerlukan perancangan strategik dan teliti oleh AirBorneo,” ujarnya.
Jepun Lihat Potensi Besar Kerjasama
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, turut menyatakan minat Jepun untuk memperluaskan kerjasama dengan Sarawak dalam sektor penerbangan.
Ia meliputi penyewaan pesawat, penyelenggaraan dan latihan bersama syarikat Jepun seperti Mitsubishi Heavy Industries dan ANA Holdings.

“Saya berasa teruja apabila dimaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak merancang untuk memperluaskan lagi sambungan penerbangan, termasuk kemungkinan dengan Jepun.
“Jika ada penerbangan terus atau laluan penerbangan yang lebih mudah, sudah pasti ia akan menjadi pemangkin dalam memperkukuh hubungan dua hala kita, bukan sahaja dari segi perniagaan tetapi juga pertukaran rakyat antara rakyat, termasuk pelajar yang datang melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” menurut Shikata ketika ditemu bual eksklusif bersama TVS.
Tambah Shikata, Jepun sebelum ini telah menyokong projek penambahbaikan atau peluasan kemudahan lapangan terbang termasuk projek di Miri.
Ujarnya, sektor pengangkutan termasuk kemudahan lapangan terbang adalah bidang yang dikuasai oleh syarikat-syarikat Jepun dengan kepakaran dan pengalaman yang luas.
“Jika ada permintaan khusus daripada Kerajaan Sarawak (jalinan kerjasama dengan syarikat MRO Jepun), saya berbesar hati untuk menyampaikan minat tersebut kepada pihak berkuasa Jepun atau mungkin juga kepada syarikat-syarikat swasta di Jepun,” katanya lagi.
Trend Pasca Pandemik: Penerbangan Terus dan Serantau
Mengulas trend pasca pandemik, Shantanu menyatakan permintaan terhadap penerbangan terus ke destinasi serantau kini menjadi norma baharu industri.
Di peringkat serantau menurutnya, lebih ramai penumpang mahu menggunakan lapangan terbang bandar-bandar kecil berbanding lapangan terbang utama.
“Inilah peluang untuk KIA memainkan peranan sebagai hab serantau dengan menyediakan laluan terus ke pusat-pusat utama Asia Tenggara.
“Ini bukan sahaja menggalakkan pelancongan tetapi juga pergerakan kargo keluar masuk ke Sarawak dan rantau Borneo serta berpotensi merangsang ekonomi serantau secara menyeluruh,” katanya.
Kesimpulan: AirBorneo – Pendatang Baharu Dominasi Udara Borneo
Jika diurus secara strategik dan mampan, AirBorneo berpotensi muncul sebagai pemain utama dalam industri penerbangan rantau Asia Pasifik, bukan sekadar penghubung rakyat Sarawak.
Keupayaan membaca pasaran, memperkukuh infrastruktur serta membina rangkaian kerjasama antarabangsa akan menjadi penentu sama ada AirBorneo terbang tinggi atau sekadar tinggal impian.

Menurutnya, AirBorneo sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak, mereka mempunyai potensi besar untuk menyokong pertumbuhan industri penerbangan bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Borneo dan Asia Pasifik.
Bukan itu sahaja, kepelbagaian jenis armada turut memberi kelebihan strategik kepada AirBorneo. – TVS