PUNCAK ALAM, 23 Mac: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan empat Klinik Desa (KD) di Johor terjejas akibat banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tiga KD di Johor Bahru yang terkesan ialah KD Kangkar Tebrau, KD Maju Jaya dan KD Plentong.
Kata beliau, satu lagi yang turut terjejas ialah KD Batu Empat di Kota Tinggi.
“Bagaimanapun hanya KD Kangkar Tebrau masih belum dapat beroperasi seperti dan perkhidmatannya terpaksa dipindahkan sementara ke Klinik Kesihatan (KK) Majidee.
“Tiga KD yang terjejas kini sudah beroperasj seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir Program Pengedaran Bubur Lambuk dan Penyampaian Kecemasan Gaza di Econsave Puncak Alam, di sini hari ini.
Tambah Dr Dzulkefly, KKM sedang meneliti langkah terbaik bagi memastikan perkhidmatan di KD Kangkar Tebrau dapat kembali beroperasi secepat mungkin bagi kemudahan penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau turut memuji kecekalan petugas kesihatan yang tetap menjalankan tugas seperti biasa walaupun ada yang turut terjejas akibat banjir.
“Malah di pusat pemindahan sementara (PPS), kakitangan kesihatan masih memberikan perkhidmatan kepada mangsa banjir tanpa mengabaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
Sementara itu kata Dr Dzulkefly, kerajaan berterima kasih kepada syarikat peruncitan Econsave yang mengumpul dana lebih RM10 juta untuk membantu rakyat Palestin di Gaza serta beberapa negara bergolak seperti Syria dan Yaman. – TVS.