BUKIT MERTAJAM, 23 Mac: Polis menyita 30 buah motosikal disyaki terbabit dalam kegiatan lumba haram pada operasi di Kilometer (KM) 131 hingga KM135 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Helmi Aris berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas 200 buah motosikal dalam operasi selama kira-kira lapan jam berakhir pukul 7 pagi itu.
“30 buah motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 90 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
“Empat kompaun dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan lima individu didapati positif dadah hasil ujian oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, polis turut memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram dan menasihati agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. – TVS