MIRI, 22 Mac: Program Ramadan Camp merupakan inisiatif bersama antara Masjid Darul Ehsan dan Tadika Astana bagi memberikan pendidikan awal tentang keistimewaan bulan Ramadan kepada kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak, dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program tersebut bertujuan memberi pemahaman lebih mendalam kepada kanak-kanak mengenai amalan yang disarankan dalam bulan Ramadan serta kepentingan ibadah di masjid.
“Adalah penting pengalaman pembelajaran dalam pendidikan awal kanak-kanak, konsep ini membolehkan peserta belajar melalui pengalaman langsung dan aktiviti interaktif, menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan program Ramadan Camp Tadika Astana di Masjid Darul Ehsan, Miri, hari ini.
Beliau turut menekankan perkara yang dipelajari peserta termasuk ejaan yang betul bagi perkataan Ramadan dalam tulisan Jawi, bilangan bulan dalam kalendar Islam serta perbezaan antara bulan Syawal dan perayaan Aidilfitri.
“Kanak-kanak turut didedahkan kepada peranan masjid bukan hanya sebagai tempat solat tetapi juga sebagai pusat ilmu dan kebudayaan,” ujarnya.
Fatimah turut mencadangkan agar program akan datang merangkumi sesi khas yang memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang adab dan etika berada di masjid.
“Ini bagi memastikan mereka memahami kepentingan menjaga ketenangan di dalam rumah ibadah terutama ketika solat Tarawih sedang berlangsung,” jelasnya. – TVS