Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mangsa banjir yang sarat mengandung Norhamisah Bonel, 33, (dua, kanan), diiringi jururawat Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom turun dari Helikopter Milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kluang selepas dipindahkan keluar dari kediamannya yang terputus hubungan jalan darat akibat banjir daerah ini sejak 19 Mac lalu, di Padang Kawad Pusat Latihan Pertahanan Awam Selatan (PULAPAS) hari ini. Foto Bernama

Tiga ibu mengandung Orang Asli mangsa banjir dipindah keluar dengan helikopter

ByBernama

KLUANG, 22 Mac: Tiga ibu mengandung yang terjejas banjir di Kluang dipindah keluar dari kediaman mereka yang terputus hubungan jalan darat dengan menggunakan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata tiga ibu yang sarat mengandung itu, merupakan antara masyarakat Orang Asli yang tinggal di Kampung Orang Asli Peroh, Kampung Orang Asli Sedohok dan Kampung Orang Asli Puchor di Kahang.

Beliau berkata penerbangan ihsan oleh PDRM itu melibatkan dua juruterbang dan dua kru PGU PDRM, bermula pukul 11 pagi dengan melibatkan tiga penerbangan daripada Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS) ke lokasi ditetapkan.

“Kesemua kandungan ibu mengandung itu sekitar 36 hingga 38 minggu (sekitar lapan bulan) dan kemudiannya akan ditempatkan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk pemeriksaan lanjut dan menunggu masa untuk bersalin.

“Operasi penerbangan ihsan ini membantu mangsa terjejas banjir yang terputus hubungan jalan darat ditamatkan kira-kira 1 tengah hari, melibatkan 30 pegawai dan anggota PDRM (PGU dan IPD Kluang), KKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Kluang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan, hari ini.

Sementara itu, dua juruterbang PGU PDRM yang terlibat dalam operasi berkenaan ialah ACP Faizul Muhammad dibantu Inspektor Mohd Luqmanulhakim Mansor serta dua kru penerbangan (Pemerhati Udara) Sarjan Mejar K S Jagjeet Kaur dan Kopral Adeline Liu Yan Siu.

Dalam pada itu, bagi Nur Haliza Rosli, 22, dia bersyukur kerana berjaya dibawa keluar dari kediamannya di Kampung Orang Asli Peroh, kerana dia bimbang dengan kesihatan anaknya sekiranya bersalin di kawasan yang terjejas banjir.

Beliau berkata ini kali kedua dia mengandung dalam situasi bencana banjir setelah anak pertamanya yang kini berusia tiga tahun bersalin di Hospital Mersing, yang sebelum itu dia turut ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Gembira dan bersyukur…itulah yang saya dapat katakan setelah berjaya dibawa keluar dari kawasan yang terjejas banjir dan terputus hubungan dan kini tinggal menunggu hari sahaja lagi untuk bersalin kerana usia kandungan saya telah lapan bulan,” katanya.

Seorang lagi ibu mengandung Norhamisah Bonel, 33, yang tinggal di Kampung Orang Asli Sedohok sebelum ini bimbang dengan keadaan banjir yang tidak surut dan menyukarkannya untuk melakukan pemeriksaan rutin terhadap kandungannya yang juga telah berusia lapan bulan.

“Lega jugalah rasanya setelah berjaya dibawa keluar (daripada tempat banjir) dan dimaklumkan selepas ini saya akan ditempatkan di hospital sehingga bersalin,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan