KUCHING, 22 Mac: Seramai 40 warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, terdiri daripada 20 pelajar kurang berkemampuan dan 20 staf asnaf menerima sumbangan wang tunai sempena Ramadan dan Syawal.
Selain itu, 10 asnaf dari Kampung Plaie, Kota Samarahan dan lima ibu tunggal turut menerima sumbangan yang disampaikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Majlis Iftar Perdana 2025 di Masjid Al-Qurawiyyin, UiTM Sarawak, pada Jumaat.
“Majlis ini diadakan adalah bertujuan untuk meraikan pelajar dan staf asnaf UiTM Cawangan Sarawak serta membantu untuk meringankan bebanan mereka dalam meraikan Ramadan dan Syawal yang bakal kunjung tiba.
“Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara pihak universiti, kepimpinan Kerajaan Sarawak dan masyarakat setempat sempena bulan Ramadan dan mencerminkan komitmen UiTM Sarawak dalam memupuk semangat memberi dan berkongsi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Majlis itu turut dihadiri oleh Rektor UiTM Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah; Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz; Ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) UiTM Sarawak serta lebih 400 tetamu termasuk pelajar, staf dan tetamu jemputan khas.
Pada majlis itu, Julaihi turut menyaksikan penyerahan replika cek zakat dan sumbangan berjumlah RM290,555 daripada tiga organisasi iaitu Yayasan Bank Rakyat (YBR), Maybank Islamic Berhad dan Rafulin Holdings Sdn. Bhd. kepada UiTM Sarawak. – TVS