KUCHING, 22 Mac: Aidilfitri pasti menjanjikan pelbagai juadah tradisional dan moden yang enak serta memikat selera, kini snek kekacang turut mendapat tempat di hati rakyat Malaysia berikutan ia lebih sihat sebagai pelengkap hidangan perayaan.
Bukan sahaja enak malah ia kaya dengan khasiat pemakanan, kekacang seperti gajus, badam (almond), pistachio, dan macadamia kini semakin popular dalam kalangan penggemarnya kerana mengandungi pelbagai nutrien penting seperti protein tumbuhan, serat, lemak tidak tepu, vitamin E dan magnesium yang membantu menyokong kesihatan jantung, mengawal paras kolesterol serta memberi tenaga yang berpanjangan.

Turut mengikut trend semasa, snek sihat ini ditampilkan oleh salah sebuah gerai jualan di Bazar Raya Satok, Kuching iaitu gerai Kacang & Co.
Menurut pengusahanya, Dr Asmaul Husna snek kekacang sihat yang dijualnya turut diviarasikan rasa dengan memperkenalkan kekacang bersalut herba, rempah atau madu, serta campuran “trail mix” yang menggabungkan kekacang dan buah-buahan kering.
“Inovasi ini bukan sahaja memperkayakan rasa, tetapi juga menjadikan penyajian kekacang lebih menarik dan sesuai untuk semua peringkat umur”katanya ketika ditemui TVS.
Dr Asmaul menambah antara snek moden yang semakin mendapat perhatian di gerainya adalah “mix nut bar”, iaitu snek dalam bentuk bar yang menggabungkan pelbagai jenis kekacang seperti badam, gajus, pistachio dan bijirin bersama madu, kurma atau coklat gelap.
“Mix nut bar bukan sahaja mudah disediakan, malah menjadi pilihan ideal untuk dinikmati ketika dalam perjalanan atau sebagai buah tangan sempena Aidilfitri.
“Saya memilih untuk menjual kekacang sihat kerana saya percaya makanan ringan juga boleh menjadi pilihan yang baik untuk kesihatan. Ramai orang sekarang lebih peka terhadap pemakanan, terutamanya menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri.
“Kekacang bukan sahaja sedap dan rangup, tetapi ia juga kaya dengan protein, serat dan lemak sihat yang bagus untuk tenaga dan kesihatan badan,” jelas beliau.
Kepada anda yang ingin menikmati hidangan Aidilfitri dalam nada sihat, pastikan terdapat snek kekacang turut terhidang di atas meja nanti bagi menambah nikmat beraya. – TVS