SIBU, 22 Mac: Kerja-kerja pendalaman sungai harus dilaksanakan segera sebagai langkah jangka panjang bagi mengurangkan risiko banjir di Sarawak, khususnya di kawasan rendah yang sering terjejas setiap kali hujan lebat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, perbincangan mengenai cadangan projek tersebut telah diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bagi mempercepatkan usaha menangani masalah aliran air yang tersekat di beberapa sungai utama.
“Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri dan meminta supaya kerja-kerja pendalaman dilakukan segera di Sungai Rajang dan Sungai Igan.
“Ini penting kerana banyak kawasan seperti Tanjung Manis, Bintangor, dan Sarikei menghadapi masalah air tidak dapat mengalir keluar, menyebabkan banjir berlaku (di Sibu dan daerah sekitar) walaupun hujan hanya dalam tempoh singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Sibujaya pada Sabtu.
Menurut beliau, kawasan seperti Dudong turut terkesan akibat aliran air yang tersekat, menyebabkan banjir berulang setiap kali hujan lebat.
Justeru katanya, kerja pendalaman sungai dijangka mampu meningkatkan kapasiti aliran air dan mempercepatkan proses surut di kawasan terjejas.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa keputusan mengenai jumlah bantuan sedang menunggu hasil kajian daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
“Kita sedang menunggu keputusan daripada JPBNS untuk menentukan jumlah bantuan tambahan yang akan disalurkan kepada mangsa terjejas. Walaupun bantuan daripada pihak kebajikan dan pihak kami sudah ada, tetapi ia mungkin tidak mencukupi.
“Justeru saya juga berharap orang awam yang berkemampuan dapat menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” tambahnya
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para petugas di PPS yang komited menjalankan tugas tanpa mengenal penat lelah demi memastikan kebajikan mangsa banjir terpelihara. – TVS