Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lawatan itu bertujuan untuk mempelajari industri ruminan dan menerokai peluang pelaburan dalam sektor penternakan di Sarawak.Foto hiasan Envato

Sarawak pelajari industri ruminan daripada Brazil

ByRegina Lee

KUCHING, 22 Mac: Delegasi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) yang diketuai Dato Sri Stephen Rundi Utom mengadakan lawatan kerja ke Brazil dari 8 hingga 18 Mac dengan kerjasama Kedutaan Brazil di Malaysia.

Dalam satu kenyataan media, lawatan itu bertujuan mempelajari industri ruminan dan menerokai peluang pelaburan dalam sektor penternakan di Sarawak.

“Antara tujuan lawatan ini ialah untuk menilai potensi import daging dari Brazil, mempelajari industri ruminan dan status bebas penyakit seperti FMD dan ASF, menerokai baka lembu Zebu yang banyak diternak di Brazil dan mengkaji teknologi pembiakan lembu di Brazil.

“Lawatan ini diharapkan dapat membantu Sarawak merangka strategi pembangunan industri lembu bagi mengurangkan kebergantungan kepada import dari Australia dan New Zealand.

“Ketika ini, populasi lembu di Sarawak hanya berjumlah 22,000 ekor, dengan sasaran untuk meningkatkannya kepada 80,000 ekor menjelang 2030, serta meningkatkan tahap sara diri daripada 15 peratus kepada 25 peratus,” menurut kenyataan itu.

Baka Zebu (Nelore) merupakan baka utama di Brazil, dengan 80 peratus daripada 226 juta ekor lembu di negara itu terdiri daripada baka ini.

Brazil merupakan negara utama dalam industri daging lembu dengan populasi lembu kedua terbesar di dunia, kira-kira 226 juta ekor.

Pada tahun 2024, eksport daging lembu Brazil mencapai 2.89 juta tan dengan nilai hasil sebanyak USD12.8 bilion, didorong oleh amalan penternakan yang efisien, populasi lembu yang tinggi, serta pasaran eksport yang luas.

Industri ini dikawal selia oleh MAFA Brazil dan diterajui oleh Brazilian Animal Protein Association (ABPA).

Selain itu, Brazil juga dalam proses mendapatkan pengiktirafan bebas penyakit Kuku dan Mulut (FMD) oleh Badan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), yang akan membuka lebih banyak peluang eksport.

Brazil turut bebas daripada penyakit African Swine Fever (ASF) dan Avian Influenza (AI), serta mempunyai lebih 50,000 doktor veterinar.

“Dengan memanfaatkan teknologi dan kepakaran yang dipelajari dari Brazil, Sarawak berpotensi untuk membangunkan industri ruminan yang lebih mampan dan berdaya saing di masa hadapan,” tambah kenyataan itu.

Turut serta dalam delegasi ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap M-FICORD, Datu Sirai Daha, Pengarah Veterinar Sarawak, Datu Dr Adrian Susin, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Datu Lester Mathew, Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, Pengurus Besar SALCRA Joseph Blandoi dan Pengurus Besar SLDB, Prof. Dr Harry Entebang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan