KUCHING, 22 Mac: Petarung Muay Thai negara, Rifdean Masdor bakal kembali ke pentas ONE Championship pada 9 Mei dalam misi memburu kemenangan dan mengukuhkan namanya di peringkat antarabangsa.
Malah menurut anak kelahiran Sarawak itu, beliau juga berpeluang mendapatkan kontrak rasmi bersama ONE Championship jika berjaya menumbangkan lawannya menerusi KO.
“Kalau ada rezeki, saya dapat kontrak…tapi mungkin memerlukan satu atau dua pertarungan lagi.
“Namun, kalau Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong berbesar hati, Insya-Allah ada peluang,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Rifdean yang mewakili kelab Sor Sommai itu menegaskan bahawa dia akan menggunakan strategi terbaik bagi menghadapi lawannya, meskipun masih belum mengenal pasti sepenuhnya corak pertarungan pihak lawan.
“Saya akan gunakan strategi darjah kecerdasan (IQ) ataupun ‘Strike to KO’..saya akan perhatikan kelemahan lawan semasa pertarungan dan membaca pergerakannya,” jelas Rifdean.
Sebagai persiapan, beliau turut melakukan analisis mendalam terhadap corak pertarungan lawannya dengan meneliti rakaman perlawanan terdahulu.
“Setakat ini, saya baru menonton beberapa perlawanan dan saya akui dia lawan yang keras. Bukan mudah untuk menewaskannya,” tambahnya.
Sebelum ini, Rifdean memberi bayangan bahawa dia mungkin akan menentang petarung kelahiran Laos yang menetap di Thailand, namun, jadual rasmi pertarungan masih belum dikemaskini oleh pihak ONE Championship.
Mengakhiri temu bual ketika dihubungi, Rifdean turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh peminat dan rakyat Malaysia, khususnya di Sarawak.
“Saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Sarawak.
“Insya-Allah, saya akan berusaha sebaik mungkin tahun ini demi negara, pasukan, dan semua yang menyokong saya. Assalamualaikum,” ujarnya lagi. – TVS