Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bagi anggota kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), menjalankan ibadah bukan alasan untuk berehat daripada tugas. Foto Zaim Zharfan (TVS)

Ramadan di barisan hadapan, tugas dan persaudaraan di laut

ByAdlina Rahman

KUCHING, 22 Mac: Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan, bulan untuk bermuhasabah dan merapatkan hubungan sesama insan. Namun, bagi mereka yang bertugas di lautan, pengalaman ini berbeza, dengan cabaran tersendiri tetapi penuh dengan nilai kebersamaan.

Bagi anggota kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), menjalankan ibadah bukan alasan untuk berehat daripada tugas.

Leftenan Komander Mohd Syathibi Helmi Mohd Suhaimi merupakan seorang Pegawai Pemerintah (CO) Kapal Maritim (KM) Sri Aman yang telah berkhidmat dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sejak tahun 2012.

“Sejak saya bertugas di Sabah dan Sarawak, setiap kali bulan Ramadan, kami selalu berbuka puasa bersama. Kapal yang kami gunakan berbeza-beza, jadi waktu berbuka puasa bergantung pada kapal dan anak kapal.

“Biasanya, sekitar pukul 4 atau 5 petang, kami mula perlahan sedikit operasi untuk persiapan berbuka puasa. Anak kapal akan bersama-sama menyiapkan juadah. Di tengah laut, kami akan laungkan azan untuk berbuka dan berbuka bersama-sama di kapal,” katanya  ketika ditemui TVS.

Bercerita lanjut Syathib berkata solat tarawih juga menjadi cabaran, terutama ketika musim monsun di mana ombak besar menyukarkan kru untuk berdiri dengan stabil, menjadikan solat berjemaah sukar dilakukan. Foto Zaim Zharfan (TVS)

Kata beliau, tugas tetap menjadi keutamaan, beberapa anggota perlu kekal bertugas, hanya sempat berbuka dengan kurma dan air sebelum digantikan oleh rakan setugas untuk menikmati hidangan penuh.

Menurutnya kadangkala, keadaan laut yang bergelora menyukarkan penyediaan makanan, menyebabkan mereka hanya berbuka dengan makanan yang ringkas seperti nasi dan ikan goreng.

“Di laut, masalah utama di atas kapal adalah cuaca buruk. Semua jadi sukar. Menyediakan makanan untuk berbuka puasa susah, nak cari tempat yang sesuai untuk berbuka pun susah. Kami tak boleh tinggalkan tempat operasi, jadi kami akan tetap bertugas di situ.

“Cabarannya adalah bagaimana kami mengendalikan kerja, kerana apabila cuaca teruk, kerja kami menjadi lebih mencabar dan kami cepat penat. Tapi alhamdulillah, setakat ini kami dapat menguruskan semuanya dengan baik dan berpuasa mengikut waktu yang sepatutnya,” jelasnya.

Bercerita lanjut Syathib berkata, solat tarawih juga menjadi cabaran, terutama ketika musim monsun di mana ombak besar menyukarkan kru untuk berdiri dengan stabil, menjadikan solat berjemaah sukar dilakukan.

Selain cabaran fizikal, berpuasa di lautan juga bermakna berjauhan daripada keluarga tanpa sebarang liputan telefon untuk berhubung.

Namun katanya, untuk mengubat rindu, anak-anak kapal menjadi keluarga di lautan.

Mereka berkongsi makanan, bergurau senda, dan mengisi masa bersama, mencipta kenangan yang tidak dapat diperoleh di tempat lain.

“Pengalaman berpuasa di laut ini tidak ramai yang dapat rasai. Kami jauh dari keluarga, dan tempat kami beroperasi pula tiada sambungan telefon untuk menghubungi keluarga. Jadi, kami berkongsi pengalaman itu bersama-sama.

“Mereka sudah seperti keluarga saya. Kami bergurau senda, bercerita tentang apa sahaja. Hiburan kami di atas kapal ini hanya itu sahaja. Pengalaman ini saya rasa tidak dapat diperoleh di tempat lain,” kongsi Syathibi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan