GEDONG, 22 Mac: Penganjuran Program Bimbingan serta Latihan Pembuatan Roti dan Kek Komuniti Gedong dilihat sebagai satu medium yang dapat memperkasakan segmen ekonomi warga di daerah Gedong.
Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da’adi berkata, program yang dianjur berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ini akan juga dapat mengukuhkan daya tahan ekonomi penduduk untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
“Program ini adalah sesuatu yang baik untuk penduduk daerah Gedong, di mana ia akan memperkasakan ekonomi penduduk setempat, di samping boleh menambah kemahiran yang sedia ada, dan juga boleh memperluaskan lagi bidang pendidikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penutupan Program Bimbingan serta Latihan Pembuatan Roti dan Kek Komuniti Gedong pada Sabtu.
Sementara Ketua Cawangan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.26 Gedong, Hasanah Majais pula berkata, platform latihan berasaskan pastri yang disediakan ini dilihat mampu memperkasa komuniti setempat, terutama golongan wanita agar terus berdaya-saing untuk memajukan diri terutama untuk meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.
“Mereka sudah ada minat jadi dengan adanya ruang seperti Rumah Wanita dan mesin yang sedia ada, kita akan menggerakkan lagi mereka untuk lebih aktif membuka perniagaan, sama ada perniagaan mereka sendiri ataupun melalui Biro Ekonomi Wanita Gedong,” ujarnya.
“Malah, mereka telah memulakan jualan dalam talian di rumah masing-masing dan menjana pendapatan walaupun tidak banyak, namun itulah titik permulaan bagi perniagaan mereka,” ujarnya lagi.
Kursus yang dibiayai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Sarawak ini juga dilihat dapat memberi peluang kepada para peserta untuk menceburi bidang perniagaan, khususnya dalam bidang pembuatan roti dan kek.
Seramai 15 peserta yang terdiri daripada kaum hawa di sekitar daerah Gedong menyertai kursus yang dianjurkan oleh Pergerakan Wanita PBB N.26 Gedong bermula 1 Februari 2025 yang lalu. – TVS