SIBURAN, 22 Mac: Seorang mangsa tersepit manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan di Jambatan Sungai Batu, Kampung Tapah di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 4.16 pagi dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Viva mengalami kemalangan kendiri. Terdapat dua orang mangsa telah keluar dengan sendiri sebelum ketibaan pihak bomba dan seorang mangsa masih tersepit.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu manakala dua mangsa di bahagian penumpang mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba melakukan operasi pemotongan menggunakan peralatan khas di bahagian pintu pemandu untuk mengeluarkan mangsa.
“Seorang mangsa dibawa EMRS ke Hospital Serian dan dua orang mangsa di serah kepada ambulans Serian, seterusnya kerja- kerja pembersihan sisa- sisa kemalangan dijalankan,” ujarnya. – TVS