KUCHING, 22 Mac: Program Suara 34 Pandu Lalu Ramadan Kasih RTM Sarawak anjuran Jabatan Penyiaran Sarawak yang diadakan hari ini mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, program tersebut memainkan peranan penting dalam menyantuni masyarakat dan membantu golongan memerlukan.
“Inisiatif ini adalah satu usaha yang baik daripada Jabatan Penyiaran Sarawak untuk merapatkan hubungan antara organisasi dan masyarakat sekeliling sambil menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Ia tidak hanya membantu merapatkan jurang antara rakyat dan kerajaan tetapi juga memberi peluang untuk mendekati masyarakat secara langsung.
“Ramai yang hadir dan berbaris untuk menerima bantuan. Program ini juga membantu meringankan beban golongan yang memerlukan untuk membeli barangan keperluan,” katanya pada Program Suara 34 Pandu Lalu Ramadan Kasih RTM Sarawak di Kuching, di sini, hari ini.
Program tersebut turut mendapat sokongan Jabatan Pertanian Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak, PETRONAS Sarawak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), AirAsia Berhad, GTR, Ground Team Sarawak, PAWADA, Liansin dan Yayasan Al Bait.
Menurut Abdullah Saidol, program yang memasuki edisi kelima tersebut menjadi wadah untuk memperkukuh kerjasama sosial dan menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang bermanfaat kepada masyarakat.
“Gabungan strategik antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan rakan-rakan strategik bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan tetapi turut memperkukuh nilai sosial seperti kerjasama, keprihatinan dan tanggungjawab dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Selain itu, program juga dimeriahkan dengan pelbagai reruai dan tapak jualan yang disediakan oleh rakan-rakan strategik program tersebut.
Uniknya, ia turut diserikan dengan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada 100 orang terawal, perkhidmatan kaunter zakat bergerak, Jualan Usahawan Tani, Jualan Rahmah MADANI dan agihan Baju Raya Percuma.-TVS