BUKIT MERTAJAM, 22 Mac: Kehangatan sambutan Hari Raya Aidifitri yang akan tiba semakin dirasai apabila kira-kira 200 penduduk pelbagai kaum bergotong-royong menyiapkan ketupat palas bagi diedarkan kepada orang ramai di Dataran Sungai Sembilang, Juru di sini hari ini.
Acara itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk belajar menyediakan makanan tradisi masyarakat Melayu ketika hari raya itu, bahkan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum.
Penduduk berketurunan Cina, Adeline Chang, 65, berkata, dia teruja apabila berpelung belajar menyediakan juadah tradisi itu buat pertama kali.
“Mula-mula memang kekok, tetapi selepas mendapat tunjuk ajar daripada kawan Melayu, saya semakin tahu walaupun (bungkusan) belum kemas,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, remaja perempuan berusia 18 tahun, P. Prathiba berkata, dia teruja untuk menyertai acara tersebut selepas diberitahu oleh ibunya mengenai penganjurannya.
“Saya sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi program ini saya sertai bagi mengisi masa lapang.
“Walaupun tidak sangka agak susah sebab ini pertama kali buat ketupat, tetapi ia menyeronokkan apabila dapat berkumpul dengan semua kaum,” katanya.
Menurut seorang suri rumah, Esah Abdullah Ali, 42, dia tidak kekok memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan berketurunan Cina dan India kerana mereka menunjukkan minat untuk mempelajari cara membungkus ketupat palas.
“Apabila mereka semangat nak belajar, kita pun suka untuk berkongsi ilmu.
“Saya juga harap selepas ini dapat belajar mengenai makanan-makanan tradisi kaum lain pula,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung, berkata, pada program kali pertama yang dianjurkan pusat khidmatnya itu, sebanyak 50 kilogram (kg) pulut disediakan bagi menghasilkan kira-kira 1,000 biji ketupat palas untuk diedarkan secara percuma kepada orang ramai.
“Acara ini dilihat sangat baik apabila masyarakat berbilang bangsa dapat berkongsi pengalaman dan tradisi yang secara tidak langsung dapat memperkukuhkan perpaduan dan mengeratkan persahabatan,” katanya. – TVS