KUCHING , 22 MAC: Kuching City FC mengumumkan bayaran tiket akan dikenakan bagi perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas sebelum ini memberikan kemasukan percuma kepada penyokong dalam dua perlawanan terdahulu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan berkata, langkah tersebut diambil bagi menampung sebahagian daripada kos operasi yang telah ditanggung sepanjang musim ini.
“Kita dah bagi masuk percuma sebelum ini untuk dua perlawanan, iaitu menentang Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC.
“Jadi, kali ini kita terpaksa mengenakan bayaran tiket untuk menampung sedikit kos-kos yang ada,” katanya ketika dihubungi TVS.
Pada masa yang sama, Iswandi menyeru pemain ke-12 untuk hadir ke stadium dan memberikan sokongan penuh kepada pasukan.
Beliau berkata kehadiran penyokong amat penting bagi menaikkan semangat pemain dalam aksi terakhir musim ini.
“Kehadiran penyokong sangat penting, lebih-lebih lagi ini perlawanan terakhir. Kami amat mengalu-alukan sokongan padu daripada semua peminat Kuching City FC,” ujarnya.
Perlawanan tersebut dijangka menjadi ujian getir buat Kuching City FC dan sokongan daripada penyokong setia pasti menjadi dorongan tambahan buat pasukan dalam usaha menampilkan persembahan terbaik di hadapan penonton sendiri. – TVS