KOTA SAMARAHAN, 22 Mac: Kekosongan jawatan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di Sarawak diharap dapat diisi dengan segera bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di wilayah ini berjalan lebih lancar dan efisien
Ketua Penolong Pegawai Perubatan Negeri Sarawak Samsuri Md Isa berkata, ia amat penting dalam mengurangkan tekanan terhadap barisan hadapan penjagaan kesihatan di wilayah ini terutamanya di kawasan luar bandar yang mengalami kekurangan tenaga kerja perubatan.
“Jurang yang besar dalam kekurangan penjawatan diharap dapat ditambah kelak dengan jalinan kerjasama erat JKN Sarawak dan Kerajaan Sarawak dalam menyokong serta mendokong profesion kami,” katanya ketika berucap dalam Sambutan Hari Pembantu Perubatan (PPP) ke-14 di Institut Jantung Negara di sini, hari ini.
Menurutnya, pertambahan penjawatan tersebut memberi ruang akses lebih baik kepada komuniti dan dapat meningkatkan kemajuan kerjaya pembantu perubatan bagi menyambung pelajaran sama ada di peringkat diploma lanjutan, ijazah, sarjana dan seterusnya ke peringkat kedoktoran
Katanya, pertambahan penjawatan diharap dapat memberi kelegaan dalam melaksanakan tanggungjawab sekali gus mengurangkan tekanan serta kelelahan emosi yang dialami oleh PPP.
Untuk rekod, tahun ini ‘Revolusi Digital: Evolusi Pembantu Perubatan Pintar’ terpilih sebagai tema Hari Pembantu Perubatan (PPP) ke-14.
Ia menggambarkan perana penting Pembantu Perubatan dalam mengadaptasi inovasi teknologi dalam mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan, memperluas akses rawatan berkualiti dan memastikan penyampaian perkhidmatan perubatan lebih responsif, berkesan serta futuristik. – TVS