MIRI, 22 Mac: Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menyeru lebih ramai masyarakat tampil menderma darah bagi memastikan bekalan darah di hospital mencukupi bagi memenuhi keperluan pesakit.
Beliau berkata, jumlah pesakit yang memerlukan transfusi darah semakin meningkat berikutan pertambahan populasi dengan pendermaan darah secara berterusan amat penting bagi memastikan bekalan di hospital mencukupi pada setiap masa.
“Setiap pek darah yang didermakan mampu menyelamatkan nyawa. Kita tidak tahu siapa yang akan menerima darah kita, tetapi ia pasti akan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada kempen derma darah anjuran Lions Club of Miri Mandarin di Pusat Bulan Sabit Merah, Miri, hari ini.
Kim Shin turut menekankan tanggapan salah dalam kalangan masyarakat terdahulu yang menganggap pendermaan darah tidak baik atau berisiko namun sejak diperkenalkan pada tahun 1970-an masyarakat semakin sedar tentang kepentingannya.
“Dahulu, pesakit perlu membeli darah atau mencari penderma gantian, tetapi sejak 1979, kita telah mencapai 100 peratus pendermaan sukarela. Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan,” ujarnya.
Beliau berkata, menjadi penderma darah bukan sahaja membantu menyelamatkan nyawa tetapi juga dapat memberi manfaat kepada penderma itu sendiri dalam mengekalkan kesihatan.
“Saya pernah bertanya kepada penderma darah tegar apa yang mendorong mereka untuk terus menderma. Mereka menyatakan bahawa untuk mencapai sasaran tertentu seperti 100 kali pendermaan, mereka perlu memastikan kesihatan sentiasa dalam keadaan baik,” jelasnya. – TVS