KUCHING, 22 Mac: Setiap kali Ramadan hampir melabuhkan tirainya, Bazar Aidilfitri Satok terus menjadi lokasi legenda dan tumpuan utama warga Kuching untuk mendapatkan segala keperluan menyambut Syawal yang dinanti-nantikan.
Beroperasi sejak 16 Mac lalu sehingga 30 Mac ini, bazar yang terletak di pusat bandar raya Kuching itu menempatkan kira-kira 200 penjaja yang menawarkan pelbagai barangan keperluan Aidilfitri.
Antara yang menjadi rebutan termasuklah Baju Melayu, Baju Kurung, songkok, sampin, biskut raya, Kek Lapis Sarawak dan pelbagai lagi.
Rata-rata peniaga meluahkan rasa syukur dan teruja kerana diberi peluang oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad (KUBS) untuk berniaga di bazar yang penuh nostalgia itu.
Bagi Sheikh Zaman Piee, 51, yang menjual pakaian tradisi sejak belasan tahun lalu, permintaan terhadap kurta dan sampin tidak pernah mengecewakan setiap kali Ramadan menjelma.

“Rata-rata stok pakaian kami sudah ditempah lima bulan lebih awal sebelum Ramadan. Ada yang ditempah terus dari kilang bagi memastikan rekaan dan kualitinya terjamin.
“Menjelang penghujung Ramadan, Baju Melayu, kurta, Baju Kurung, songkok dan pelbagai kelengkapan raya lain akan laris terjual ibarat pisang goreng panas,” ujarnya yang berasal dari Mukah.
Mengimbas kembali pengalaman pada tahun 2022, Sheikh Zaman berkata, sambutan luar biasa berlaku apabila Aidilfitri diumumkan sehari lebih awal daripada jangkaan, menyebabkan Bazar Aidilfitri Satok diserbu pengunjung pada saat akhir.
“Ketika itu, saya hanya tinggal lima peratus stok kerana ramai yang berpusu-pusu datang membuat persiapan akhir. Itulah tahun paling saya tak akan lupa,” tambahnya.
Namun katanya, sebagai peniaga, turun naik jualan adalah lumrah dan beliau berharap kehadiran pengunjung tahun ini akan terus memeriahkan suasana bazar yang cukup sinonim dengan sambutan Hari Raya di Kuching.
Sementara itu, bagi Dayangku Nuratirah Awg Affendi, 28, yang menjual biskut dan Kek Lapis Sarawak, keunikan rasa air tangan anak jati Petra Jaya menjadi faktor ramai pelanggan setia tidak pernah gagal mencari gerainya setiap tahun.

“Setakat ini, Alhamdulillah, sambutan sangat memberangsangkan. Setiap tahun hasil jualan meningkat kerana pelanggan tahu kami akan berada di sini di Bazar Aidilfitri Satok.
“Pada saya, ramai yang lebih gemar membeli secara fizikal kerana mereka boleh merasa sendiri kek sebelum membeli. Terutamanya Kek Lapis Sarawak yang memang sinonim dengan Aidilfitri di bumi Kenyalang,” katanya.
Antara kek yang menjadi pilihan ramai termasuk Kek Hati Parek, Kek Lumut, Kek Belacan dan Kek Buah.
Selain itu, pelbagai jenis biskut raya ‘homemade’ seperti Tart Nenas, Cadberry, Suji dan Makmur turut menjadi rebutan sebagai juadah wajib di meja tetamu ketika rumah terbuka.
Kemeriahan Bazar Aidilfitri Satok bukan sekadar ruang membeli-belah tetapi turut menjadi simbol tradisi dan nostalgia buat warga Kuching dalam membuat persiapan menyambut hari kemenangan yang penuh bermakna. – TVS