KUCHING, 21 Mac: Pihak polis kini diakui berdepan dengan cabaran baharu dalam menjaga keselamatan awam seiring denganĀ kemajuan teknologi kata, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ini kerana mereka beralih ke dunia maya melalui jenayah siber yang semakin meruncing.
“Kalau dulu penjenayah bergerak secara fizikal sekarang ini mereka bergerak secara atas talian dengan jenayah siber. Jadi di sinilah kita perlu tingkatkan usaha bagaimana kita nak melawan dalam bidang sosial ini.
“Di Sarawak, salah satu ialah peningkatan dan kadar pengedaran dadah ia perlu dipantau sebab akan membawa kepada gejala sosial yang menyebabkan ketenteraman awam terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis moreh selepas menunaikan solat Isya dan terawih bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata isu berkaitan perkauman dan agama yang dibangkitkan di platform dalam talian juga berpotensi menimbulkan ketegangan antara masyarakat yang sudah lama hidup dalam keharmonian.
“Cabarannya ialah apa yang berlaku di media sosial turut boleh menyebabkan keretakan dan keharmonian yang telah diwujudkan selama ini.
“Ada pergerakan yang boleh membangkitkan perasan benci antara satu sama lain sama ada dari sudut kaum mahupun agama dan ini perlu ditangani dengan berkesan kerana ia akan menjejas keharmonian kita,” jelasnya lagi. – TVS