Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penasihat Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Wanita Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang menyampaikan sumbangan duit raya kepada 50 anak Sarawak daripada golongan memerlukan, yang menetap di sekitar Lembah Klang. Foto Amirah Shawel (TVS)

50 pesakit, komuniti OKU terima sumbangan duit raya Yayasan Sarawak, MAKSAK Wanita Sarawak

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Seramai 50 anak Sarawak yang menetap di sekitar Lembah Klang menerima sumbangan duit raya daripada Yayasan Sarawak dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Wanita Sarawak, hari ini.

Penerima sumbangan yang disampaikan oleh Penasihat MAKSAK Wanita Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, terdiri daripada 47 komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) dan tiga pesakit hospital Lembah Klang yang menetap di Ibu Negara.

Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mersal Abang Rosli, berkata sumbangan itu merupakan manifestasi keprihatinan Yayasan Sarawak dan MAKSAK Wanita Sarawak terhadap kebajikan warga Sarawak.

“Kami berharap agar sumbangan yang diberikan dapat sedikit sebanyak meringankan beban dan memberikan keceriaan, terutamanya kepada para pesakit dan komuniti orang kurang upaya, serta kakitangan sokongan di Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur dan Yayasan Sarawak Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sentuhan Kasih Juma’ani dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang, serta Ketua Biro Pendidikan MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Fauziah Mardiana Sepawi.

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Nikod Samut, 54, berkata bantuan yang diterima akan membantunya menampung kos perbelanjaan bagi menyara anaknya, Emrick Xavier, yang mengalami masalah pembelajaran.

“Bantuan ini akan digunakan untuk membeli barangan anak saya seperti baju dan kasut. Program sebegini memang membantu dari segi keperluan dan meringankan kos perbelanjaan,” katanya.

Bagi seorang pemandu bas sekolah, Hadimah Putit, 46, sumbangan itu akan dimanfaatkan untuk membiayai yuran terapi bagi anaknya yang menghidap Sindrom Down.

Katanya, anaknya yang berusia enam tahun kini menjalani pelbagai terapi, termasuk terapi wicara dan bahasa serta terapi cara kerja, bagi memastikan dia mampu berdikari.

“Saya tidak sangka saya akan tersenarai untuk menerima sumbangan oleh Yayasan Sarawak ini. Saya sangat bersyukur dan berharap agar golongan OKU terus terbela serta diberikan tempat khas untuk bersekolah dan bekerja,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan